Categories
minimalisme

Setahun tanpa TV

Apa yang kita rasa perlu ada dalam rumah tetapi sebenarnya tak perlu? Pada saya, jawapannya adalah TV.

Sepanjang tahun 2018 kami sekeluarga hidup tanpa TV.

Kenapa? Sebab kami rasa kami tak perlu pun TV sebenarnya. Jadi, kalau rasa tak perlu, kami tidak mahu menambahkan barang itu dalam kehidupan kami. Mungkin kalau ada TV elok juga, tapi bagi kami yang dah setahun lebih tanpa hidup tanpa TV, ternyata yang TV bukanlah satu keperluan penting bagi kami buat masa ini.

Kenapa kami tak perlu TV?

Sebab utamanya adalah kami tiada masa nak tonton TV.

Di Malaysia, semasa saya bekerja sepenuh masa, saya tiada masa menonton TV. Balik kerja, makan malam, tidurkan anak. Lepas tu biasanya saya kena buat persediaan untuk mengajar keesokan harinya. Jadual suami pula lepas makan malam sentiasa penuh, uruskan hal bisnes, bersukan, pergi kelas, tidurkan anak (dan terus tidur…). Pada hujung minggu pula, kami biasanya sibuk dengan urusan rumahtangga atau memenuhi jemputan sosial keluarga atau kawan-kawan. Disebabkan jenis kerja saya juga, saya memang kena luangkan masa hujung minggu untuk persediaan mengajar minggu hadapannya.

Kami hanya ada TV bila nak melengkapkan rumah kami yang disewakan fully-furnished kepada orang lain. Sepanjang tahun 2018 ini, saya hidup nomad, saya berpindah dua kali merentas negara (UAE, Malaysia dan kembali pada UAE) dan setiap kali pindah, I have had to prune away my stuff.

Di UAE pula, saya sibuk menguruskan rumah tangga, disamping belajar ilmu baru dari internet; antaranya, belajar membangunkan dan menguruskan laman WordPress ini. Kalau ada masa lapang, saya akan indulge dengan hobi saya. Saya tiada masa untuk commit menonton apa-apa rancangan bersiri, walaupun melalui laptop sekalipun. Suami saya selepas pulang kerja dan selesai makan malam, dia akan mengambil alih tugasan rumah dari saya, bermain dengan anak dan menidurkan anak. Tiada masa juga untuk duduk di depan kaca TV, mahupun melayan TV series di laptop. Hujung minggu pula banyak digunakan untuk beriadah bersama keluarga.

Old TV being held on a couch
Kurang gangguan bila hidup tanpa TV

Kebaikan hidup tanpa TV

Selepas setahun hidup tanpa TV, saya sedar ada beberapa kebaikan yang saya dapat. Antaranya:

  1. Boleh jimat duit.
    • Tak perlu bayar pakej langganan TV.  Berapa banyak sangat channel dalam pakej langganan yang betul-betul korang tonton? Balik-balik itu juga kan. Sebab terlalu banyak pilihan rancangan TV sampai kita pun pening nak pilih.
  2. Kurang gangguan
    • Bila kurang gangguan, kita boleh fokus kepada perkara lain yang kita dah lama nak buat (tapi tak terbuat-buat lagi..). Masa yang septatunya diluangkan untuk menonton TV boleh di gunakan untuk: mendalami kemahiran baru, belajar ilmu baru, baca buku, quality time bersama keluarga, bersenam (rata-rata kita semua sentiasa tak cukup bersenam kan?) Jangan pula masa tu digunakan untuk scroll social media mindlessly, buang masa dan tambah stress.
  3. Anak cepat bercakap
    • Bagi yang dah ada anak, kurang pendedahan kepada TV dan peranti berskrin yang lain boleh membantu anak cepat bercakap. Dah ada banyak kajian saintifik dijalankan yang menyokong perkara ini. Dari pengalaman saya dengan anak saya sendiri, seingat saya dia dah lancar bercakap sebelum umur setahun setengah lagi. Pada umur dua tahun setengah, pemahaman, lenggok percakapan, penyebutan, dan kosa katanya boleh dikatakan seperti orang dewasa.

Kurang barang tanpa TV

Bila tiadanya TV, benda-benda yang biasanya datang bersama TV juga boleh dikurangkan. Ini aspek yang saya paling suka. Dari pengalaman saya yang cuba nak menerapkan idea minimalisme dalam kehidupan seharian saya, ketiadaan TV sangat-sangat membantu kami mencapai benda ni. Kerana tanpa TV, anda tak perlu lagi barang-barang yang biasanya akan datang bersama TV seperti:

  • Astro box / Android box / HyppTV box
  • Sound system
  • Remote control TV, remote control Astro box / Android box / Hypp TV box , remote control sound system
  • Bekas penyimpan remote controls 
  • Wayar dan cable dan extension berselirat (….serta habuk yang senang terkumpul padanya). Ini yang paling saya rimas.
  • Rak TV

Saya pernah ke rumah orang yang ada terlalu banyak pilihan channel TV kerana melanggan pelbagai provider pada sesuatu masa (Astro, Android box, HyppTV) ditambah pula dengan sound system, namun orang tersebut sampai dah tak tahu remote mana nak tekan bila nak hidupkan TV dan nak tengok 1 channel. Hmmm…kita memang boleh tengok satu channel saja pun kan pada sesuatu masa? Saya juga kenal orang yang ada hanya langgan 1 provider sahaja (contohnya: Netflix) namun akhirnya tak tengok pun TV sebab terlalu banyak sangat pilihan dan nak buat keputusan untuk tengok satu rancangan TV pun dah mengambil masa, sebab kena scroll semua rancangan TV yang ada untuk buat pilihan. Benda mudah dah jadi susah akhirnya.

Pada saya, lebih sikit pilihan kita ada, lebih tenang kehidupan.

Ruang tamu tanpa TV tidaklah janggal pun kan?

Saya bukan nak suruh lupuskan TV korang sekarang juga, tapi lebih kepada nak share yang sebenarnya sebagai satu keluarga, tiada TV pun tak apa, masih hidup macam biasa dan bukanlah katak bawah tempurung.

Tak ketinggalan ke kalau tiada TV?

Kalau dulu zaman 80-90an, mungkin ya. Zaman sekarang, semua maklumat dihujung jari, nak dapat breaking news pun dihujung jari, lebih pantas dari buka TV. Saya rasa tak ketinggalan dan tak rugi apa-apa pun. Kalau tiada internet, lain cerita.

Orang bercakap pasal siri TV yang trending dan popular? Disebabkan saya memang tiada masa nak tengok, saya tak rasa saya ketinggalan. I learned to let go of the Fear Of Missing Out. Lain orang lain komitmen dan prioritinya dalam kehidupan.

Jadi hidup tanpa TV, bagi saya adalah normal dan mungkin lebih tenang sedikit.

Ada sesiapa lagi yang dah pernah cuba hidup tanpa TV? Boleh kongsi pengalaman korang di ruang komen.

Categories
minimalisme

Kenapa pakai baju sama setiap hari adalah lebih efisien

Antara tips hidup minimalis yang dikongsikan oleh Fumio Sasaki, seorang minimalis tegar dalam bukunya Goodbye, Things, adalah:

Carilah pakaian seragam unik anda sendiri.

-Fumio Sasaki

Kenapa nak pakai ‘pakaian seragam’ atau baju yang sama setiap hari? Tak bosan ke? Sebenarnya pakai pakaian yang sama setiap hari membantu kita menjadi lebih efisien dalam kehidupan seharian. Saya tak maksudkan pakai baju yang sama berulang kali tanpa dibasuh, janganlah jadi pengotor pula. Saya maksudkan baju sama adalah pakaian seperti pakaian seragam.

Bayangkan senario ini pada suatu pagi, hari kerja. Lepas mandi, kita duduk depan almari, bersedia nak pakai baju. Berapa lama kita buang masa depan almari untuk pilih baju kerja? Pilih seluar yang nak dipadankan dengan baju tadi? Bagi yang perempuan, pilih pula accessories atau tudung lagi? Bila dah dekat pintu nak keluar, kita kena pilih kasut pula. Berapa banyak keputusan yang otak kita terpaksa buat dalam setiap kategori tu?

Banyak pilihan, kurang keefisienan?
Semakin kurang pakaian, semakin cepat masa bersiap

Kalau dalam satu kategori tu kita tak terlalu banyak pilihan, kan lebih cepat kita buat keputusan? Lebih efisien penggunaan masa dan tenaga kita.

Orang hebat dan pakaian seragam.

Cuba perhatikan gaya orang-orang hebat ni, pemimpin dan public figure kita. Biasanya mereka akan ada satu gaya unik dan tersendiri, yakni signature look la. Gaya unik ni biasanya ada elemen keseragaman dan kesamaan. Contohnya Tun Dr. Mahathir yang kebanyakan masanya memakai baju berkolar nehru ataupun bush jacket. Gaya ini adalah sangat sinonim dengan beliau. Nampak simple, tapi sangat praktikal. Tak perlu nak fikir tali leher apa yang nak dipadankan dengan kemeja, kemeja apa yang nak dipadankan dengan seluar ni, seluar tu.

seragam Tun Mahathir.
Pakaian seragam Tun Mahathir: Baju kolar nehru dan bush jacket, biasanya berwarna kelabu.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pula, sentiasa dengan baju kurung biru dan rantai mutiara putihnya. Saya dah lama perasan, dan saya sering terfikir juga berapa pasang baju kurung biru beliau ada sebenarnya. Apa-apapun, yang pasti, bila bersiap pagi-pagi dah tak perlu pening kepala nak memilih baju apa nak pakai hari ini.

baju kurung tan sri zeti
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sering mengenakan baju kurung biru dan rantai mutiara.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri juga. Beliau selalu memakai baju kurung atau kebarung berona pastel, dipadankan dengan tudung bawal polos berona pastel juga. Dari dulu sampai sekarang. Beliau tak perlu jadi nak try setiap tudung gaya baru, fabrik baru yang keluar di pasaran.

 

tudung paster wan azizah
Datuk Seri Wan Azizah sering memakai tudung bawal warna pastel

Bukan sahaja public figure Malaysia, malah orang terkemuka antarabangsa juga memilih pakaian yang sama untuk dijadikan “seragam” unik diri sendiri. Mark Zuckerberg dan mendiang Steve Jobs, technopreneur berjaya cuma memakai jenis baju yang sama setiap hari dan mereka dikatakan sangat efisien. Kalau dalam contoh Mark Zuckerberg tadi, dalam kategori pakaian, beliau selalu pakai baju jenis hoodie hitam, t-shirt kelabu serta jeans biru. Steve Jobs pula sentiasa dengan baju turtleneck hitam dan jeans biru. Hampir setiap hari mereka memakai jenis baju yang sama sebegitu.

Kenapa jenis baju sama setiap hari? Mereka tak mahu buang masa buat pilihan untuk perkara-perkara kecil dalam urusan seharian, seperti baju apa nak pakai hari ni. Mereka lebih gemar menggunakan masa dan tenaga untuk membuat keputusan-keputusan yang lebih penting. Kan lebih efisien macam tu?

 

Zuckerberg & Jobs simple fashion
Uniform orang efisien | Mark Zuckerberg: hoodie dan t-shirt kelabu; Mendiang Steve Jobs: turtleneck hitam dan jeans biru.

Keluarga baju sama yang efisien

Setelah berkahwin, saya baru tahu suami saya hanya ada beberapa kemeja kerja yang diulang pakai setiap minggu. Kemeja tu hampir semuanya warna biru (bukan uniform macam polis atau TUDM tu). Jadi saya memang akan iron baju kemeja yang sama setiap hujung minggu. Bila tanya kenapa sikit aje baju kerjanya, suami cakap “I don’t need to complicate my morning routine and I don’t need to impress anyone with what I wear“. Bapa mertua saya pula selalu pakai baju kemeja putih dan seluar hitam setiap hari; dan ibu mertua pula kebanyakan baju dan tudungnya berwarna merah dan hitam. Mungkin jenis pakaian mereka ada variasi tetapi masih dalam tema warna yang sama. Mereka adalah orang-orang yang paling efisien yang saya kenal; sangat cekap dan menepati masa. Saya banyak belajar dari mereka.

Minimalist wardrobe
Hadkan warna dalam almari anda

Majikan baju sama yang efisien

Boss-boss saya di universiti di Malaysia juga sama. Saya pernah ada boss lelaki yang pakai baju putih setiap hari walaupun jawatan beliau tidak memerlukan pemakaian uniform. Beliau adalah seorang yang sangat efisien dan cekap. Boss perempuan pula setiap hari pakai baju kurung batik crepe dipadankan dengan fesyen/jenama tudung yang sama. Supervisor saya di Jerman dulu sering mengenakan seluar tweed berwarna coklat dan baju kemeja coklat atau hijau atau warna gelap. Jarang nampak beliau pakai baju atau seluar warna lain. Beliau sangat produktif dalam bidangnya dan pemikirannya sangat tajam.

Mungkin bila menyandang jawatan yang semakin tinggi, yang mana kena buat keputusan-keputusan besar dan penting setiap hari, tiada masa nak fikir isu remeh seperti hari ni nak pakai baju apa? Yang penting, cukup sekadar kemas dan nampak professional.

Usaha saya nak jadi lebih efisien?

Well, saya baru berjinak dengan idea minimalisme yang salah satunya adalah pakai-baju-sama ni sebab saya rasa memang ada benarnya. Hidup kurang pilihan, hidup lebih aman. Jadi saya tak beli atau pakai tudung bercorak, dan saya hanya pakai satu jenis sahaja. Semua tudung yang saya pakai adalah instant shawl polos. Hehe, boleh tak macam tu? Saya tak perlu fikir tentang corak ni padan dengan baju ni aje, corak tu dengan baju tu aje. Kasut pula saya pakai 3 warna aje: hitam, merah dan coklat. Boleh dipadankan dengan dengan kebanyakan baju saya. Ok lah tu kot usaha saya untuk permulaan ke arah hidup minimalis?

Boleh ke anda pakai jenis baju sama setiap hari? Rasanya lebih efisien tak kalau macam tu?

Categories
minimalisme

Kehidupan nomad dan minimalisme

Kehidupan nomad telah menggalakkan saya untuk menerapkan idea-idea minimalisme dalam kehidupan.

camel and nomadic lifestyle
Cara hidup nomad sesuai dengan minimalisme.

Setelah dapat tahu yang saya akan mengikut suami saya ke UAE ini buat suatu jangka masa tertentu, saya telah terpaksa mengosongkan rumah kami untuk disewakan. Barang-barang peribadi seperti pakaian, buku-buku, fail-fail, kertas-kertas, alat permainan, barang-barang hiasan semua kena di masukkan storage. Hanya perabot asas dan yang besar-besar sahaja ditinggalkan untuk penyewa seterusnya. TAPI…suami saya pesan satu benda penting!

Jangan simpan ‘sampah’

Suami saya pesan awal-awal dengan straightforwardness nya “Jangan transfer sampah masuk storage, nanti bila kita balik Malaysia balik, kita kene deal lagi dengan barang-barang ni balik”. Yang dia maksudkan dengan sampah sebenarnya adalah: barang yang dah tak berguna, tak pernah diguna, atau yang tak akan digunakan lagi.

Jadi saya terpaksalah melupuskan banyak barang. Saya pun dihadkan dengan jumlah kotak yang ada. Semakin banyak kotak, semakin mahal kos packing nya. Satu kotak pindah yang kuat berharga dalam RM 10 sebuah. Barang-barang kaca kena dibalut bubble wrap. Kotak yang fragile kena dibalut wrapping film lagi. Itu semua adalah kos. Jadi lagi sedikit barang kita, lagi jimat kos pindah, kan?

Saya pun buat lah spring cleaning besar-besaran. Selongkar semua pelusuk rumah. Fikir betul-betul tentang setiap barang.

Barang ni aku guna ke tak sebenarnya?
Barang ni aku suka ke tak sebenarnya?
Adakah barang ini, ‘mencetuskan kegembiraan’?
Kalau aku kena mula hidup dari kosong, aku betul-betul perlu tak barang ni?

Antara soalan-soalan yang saya tanya diri sendiri untuk menentukan samada barang tersebut perlu kami simpan atau lupus. 

Hadiah perkahwinan kami yang kami tak pernah guna? Terkejut saya bila kira ada lebih dari 10 hadiah perkahwinan kami yang masih elok dalam kotak. Selama ini barang-barang tu tersimpan dalam satu almari di bilik belakang. Saya baru sedar balik saya ada semua barang itu hanya bila saya berkemas untuk kehidupan nomad saya ini.

Kemas-kemas lagi, saya terjumpa barangan camping. Sebab dia ada kat ruang almari paling atas, jadi saya tak ingat langsung pasal kewujudan barang ni. Dengan lifestyle kami sekarang ini, kami dah tak guna pun barang-barang camping tu.

Kemas-kemas lagi, saya tengok ada kamera DSLR saya yang telah banyak berkhidmat sejak 2008, tapi sekarang ia kurang berguna. Sebabnya saya dah takde kudrat nak membawa the kamera DSLR yang agak berat itu kehulu-kehilir lagi dengan cara hidup saya yang dah berkeluarga (dan banyak lagi barang lain yang kena di bawa) ini. Lagipun kebanyakan masanya, saya ambil gambar guna smartphone sahaja dan kadang-kadang guna kamera compact kalis air saya.

Barang yang tak digunakan adalah tidak perlu

Dalam proses berkemas itu tiba-tiba saya terasa macam banyak sangat barang yang terkumpul di rumah saya tanpa sedar. Barang-barang yang hanya mengumpul habuk, dan memakan ruang penyimpanan.

Bila barang tersimpan jauh dalam almari, dan kita tak tengok pun benda-benda tu hari-hari, ia akan mudah dilupakan. Out of sight out of mind. Sebabnya senang aje: sebab barang tu sebenarnya tak guna. Bila kita tak guna barang tu, maka sebenarnya kita tak perlu pun ada barang tu. Jadi sepatutnya kita boleh lupuskan barang tu senang aje. Lebih baik dijual atau diberi kepada orang-orang yang boleh manfaatkannya. Dapatkan kembali ruang yang telah digunakan untuk simpan barang-barang tak perlu tu.

cawan bertingkat
Antara banyak barang-barang kita, banyak sebenarnya yang tak guna pun kan?

Jualan 4 angka dari barang second hand!

Lepas dah tentukan mana yang saya nak let go, saya iklan kan semuanya di Carousell. Mula-mula saya sangsi juga lah. Ada ke orang nak beli barang-barang pre-loved aku ni? Masih ada nilai ke barang-barang aku ni? Well, orang putih kata one man’s junk is another man’s treasure. Saya jual harga kasih sayang saja, below market price. Yang penting saya dah tak nak simpan.

Percaya tak, saya berjaya kutip hasil jualan sebanyak 4 angka dari barang-barang kami semua. Saya sebenarnya amat-amat berterima kasih kepada “pelanggan-pelanggan” saya, strangers atau rakan-rakan dan keluarga yang sudi membeli barang kami. Barang-barang itu mungkin dah tak diperlukan di rumah kami, namun barang tersebut mungkin amat dicari-cari oleh orang lain.

Pengajaran dari persediaan kehidupan nomad

Peristiwa ini mengajar saya banyak benda. Kalau tak disebabkan akan menjalani kehidupan berpindah-randah gaya nomad, saya mungkin akan terus terlupa akan barang-barang kami yang kami dah tak guna lagi, barang-barang yang terus akan mengumpul habuk dan memakan ruang. Bila kami dah jual barang-barang, terasa lega sebab tahu ada orang boleh manfaatkan barang kami. Terasa ringan, sebab rumah dah kosong. Terasa gembira, sebab dapat duit!

Saya sebenarnya sangat bersyukur dan gembira dengan peluang hidup nomad ni, saya anggap ia peluang untuk menilai semula barang-barang kepunyaan kami. Ia juga peluang untuk mempraktikkan asas-asas minimalisme dalam kehidupan saya. Saya telah terpaksa pilih hanya barang-barang yang memang berguna, dan mencetuskan kegembiraan sahaja saya simpan. Jangan hold on kepada barang fizikal. Jangan simpan barang untuk just in case.

Saya betul-betul dapat rasa tenang dengan melupuskan barang. Baru saya faham kenapa konsep minimalisme itu boleh membawa kebahagiaan dan ketenangan.

Categories
minimalisme

Kenapa saya lebih suka rumah kecil

Pada zaman saya masih belum ada pemikiran minimalisme, saya selalu fikir, nak duduk rumah besar lah lepas kahwin. Setiap anak kena ada 1 bilik. Ada bilik tetamu khas. Ada bilik home office. Mesti best kan?

Dulu masa kami kecil-kecil, saya rasa rumah teres 2-tingkat 3-bilik kami tak cukup besar untuk keluarga saya adik-beradik 5 orang ini. Saya selalu rasa teringin nak ada rumah besar supaya ada ruang untuk bermain-main kat dalam rumah. Nak ada bilik seorang satu bersama bilik air.  Nak ada family room yang asing daripada ruang tamu.

small-apartment-loft-bed
Apartment kecil yang kemas | Gambar dari www.home-designing.com

Saya ditakdirkan kahwin dengan suami yang seorang minimalis sejak azali. Dia dibesarkan di rumah apartment sebahagian besar hidupnya, dan dia cakap kat saya, kita akan duduk apartment lepas kahwin. Mula-mula saya risau juga sebab tak biasa duduk rumah yang bukan landed. Tetapi, suami saya dan keluarga nya telah membuka perspektif saya tentang rumah kecil. Sekarang ni saya suka pula duduk rumah kecil, apatah lagi sejak saya berjinak-jinak dengan konsep minimalisme, saya rasa tak nak duduk landed house lagi dah.

Ini saya nak kongsikan 5 sebab kenapa saya lebih suka duduk di rumah yang kecil:

1.    Kurang maintenance diperlukan

Lebih banyak barang, lebih banyak permukaan yang boleh mengumpul habuk, lebih banyak kerja kita nak vacuum/lap/mop habuk tu. Jadi rumah besar ni memerlukan lebih banyak tenaga dan masa untuk kerja “maintenance” rumah.

Keluarga mertua saya dulu tinggal di rumah yang besar; rumah landed 2-tingkat, 6-bilik, setiap bilik ada bilik air. Dia kata, masa mula pindah rasa seronok sebab ada rumah besar. Tapi lama-lama rasa dah tak seronok sebab rumah besar ni perlukan penyelenggaraan yang kerap, istilahnya ‘high-maintenance’. Walaupun ada pembantu untuk melicinkan urusan, ianya masih terasa besar dan perlukan maintenance yang tinggi. Nak vacuum dan mop setiap penjuru. Nak bersihkan semua bilik air sekali. Belum lagi laman di luar yang harus di urus. Stor bawah tangga lagi nak di kemas. Kalau rumah kecil, kurang maintenance diperlukan. Siapa yang suka benda high maintenance kan?

ruang makan kecil kemas
Ruang makan yang kecil kadangkala lebih dari cukup.

2.   Semua benda dalam capaian mudah

Kalau duduk di rumah yang kecil pula, semua benda dalam capaian mudah, within reach. Jalan depan sikit dah jumpa dapur, jalan belakang sikit dah jumpa bilik air. Mungkin kalau masih muda belum nampak lagi kebaikannya, tapi bila dah tua, bila badan dah tak larat, baru rasa rumah kecil ni lagi mudah ke atas fizikal kita.

Saya teringat mak mertua saya bercerita tentang rumah 2-tingkatnya yang dulu, dia kata bila kita kat tingkat bawah dan tertinggal handphone di tingkat atas, susah nak lari naik balik pergi ambil handphone tu bila handphone berbunyi. Itu pun kalau kita boleh dengar orang call handphone kita. Sama juga bila handphone kat tingkat bawah dan kita pulak kat tingkat atas. Benda jadi susah dicapai.

tangga rumah 3 tingkat
Rumah konsep moden ini cantik, sebab tak banyak barang, rumah ni nampak luas. Tapi 3 tingkat adalah terlalu besar untuk saya | Gambar dari www.homebuildplan.com

3.   Rumah kecil boleh mengawal anda dari mengumpul barang

Rumah kecil buatkan kita akan lebih sedar/mindful tentang pemilikan barang kita. Sebelum membawa apa-apa barang ke dalam rumah, kita terpaksa menilai keperluan barang tu.

Ini adalah pengalaman peribadi saya sendiri. Bila kami berpindah ke luar negara dan duduk apartment 2-bilik dengan dapur yang kecil, saya terpaksa menjadi lebih sedar dalam pembelian barang. Lebih-lebih lagi bila saya sedang berjinak-jinak dalam mengamalkan idea minimalisme ini. Sebelum beli apa-apa barang saya akan tanya diri saya sendiri:

“Aku perlu ke barang ni?”

“Ada tempat ke nak letak barang ni kat rumah?“

Kalau tak perlu, dan tiada tempat nak letak barang tu, saya memang tak beli. Saya juga tak beli banyak-banyak barang makanan untuk buat “stok” dalam pantry makanan, saya cuma beli sekadar yang perlu buat masa ini, sebab tiada tempat nak letak barang-barang extra ni.

Bila rumah besar juga, barang “terkumpul” menjadi lebih banyak kerana kita rasa semacam kita harus mengisi segala ruang yang ada. Maka kita akan lebih cenderung untuk tidak sedar dalam membeli, not being mindful of our purchases.

walk-in closet
Bila rumah besar, boleh buat walk-in closet. Tapi mesti kita akan rasa WAJIB penuhkan segala sudut dalam almari ni.

 

4.   Lebih kerap berinteraksi dengan ahli keluarga

Dengan bilik yang lebih sedikit, dan ruang yang lebih kompak dalam rumah yang kecil, ahli keluarga akan lebih cenderung mempunyai interaksi yang lebih kerap, berbanding rumah besar yang mana ahli keluarga lebih “tersebar” dalam ruang yang luas.

Teringat keluarga saya sendiri yang membesar dalam rumah 2-tingkat, mak saya terpaksa menjerit dari tingkat bawah, nak panggil anak2 yang sedang bertapa dalam bilik, main komputer di tingkat atas. Kan susah tu?

Bila ruang terhad, interaksi antara ahli keluarga akan jadi lebih mudah.

5.   Jimat masa

Disebabkan #1 dan #2 tu, dah banyak sangat masa yang boleh dijimatkan apabila pergerakan kita “terhad” kepada beberapa meter quadrat sahaja. Nak lap habuk, vacuum dan mop seluruh rumah 2-tingkat boleh memakan masa lebih dari 2 jam!  Apatah lagi jika terlampau banyak barang yang harus dikemas dulu. Sangat mengambil masa berbanding rumah kecil yang barangnya pun sedikit. Masa yang dijimatkan tu kita boleh gunakan untuk buat benda lain yang kita suka, atau benda lain yang lebih penting? Contohnya seperti beriadah, berehat bersama keluarga, atau bersenam.

Anda suka rumah kecil atau rumah besar?

Categories
minimalisme

Apa itu minimalisme?

Minimalisme, pada asasnya adalah hidup hanya dengan benda, barang, dan perkara yang paling kita hargai dan membuang segala benda, dan perkara lain yang berlebihan, yang mengganggu kita dari mencapai kebahagiaan dan kebebasan.

Ini bererti bahawa hidup dengan penuh kesedaran (intentional living) dan makna (mindful living). Kesedaran bahawa barang-barang tak akan membawa kebahagiaan sebenar pada diri kita.

Minimalisme adalah kebebasan dari nafsu untuk memiliki barang.

Di zaman serba moden ini, kita macam dah diprogramkan untuk fikir yang kalau nak hidup senang dan bahagia, kita kena duduk rumah besar yang diisi dengan segala macam harta benda. Kalau nak orang hormat kita, kena pakai dan guna barang branded. Kalau nak rasa happy, kena pergi shopping, retail therapy. Kita percaya bahawa kebahagiaan boleh dibeli dengan wang ringgit.

Memiliki harta benda tak salah, cuma dalam konteks masyarakat sekarang, pemilikan harta benda lazimnya dijadikan sebagai kayu pengukur kebahagiaan dan kejayaan. Bila dah jadi macam tu, maka masyarakat pun berlumba-lumba nak kumpul harta, kumpul barang. Dari kecil sampailah tua. Akhirnya, hidup disemakkan dengan barang-barang yang memenuhi tempat, mengambil masa, dan mengambil tenaga kita.

Minimalisme adalah ketenangan
Minimalisme boleh membuka ruang, membuka minda.

Jadi, minimimalisme sebenarnya adalah satu mindset yang boleh membebaskan kita dari dibelenggu kepercayaan ini. Minimalisme boleh membebaskan kita dari jerat budaya konsumerisme, dari nafsu untuk memiliki dan mengumpul barang, nafsu ketagih membeli, nafsu sentiasa rasa tak cukup, nafsu iri hati dengan orang lain yang lebih “berada” dari kita.

Minimalism adalah cara hidup yang membantu kita fokus hanya kepada benda atau perkara yang benar-benar ada nilai dalam hidup kita. Dengan cara membuang benda atau perkara yang menyemakkan hidup kita, kita boleh memfokuskan kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam kehidupan; seperti kesihatan, perkembangan kendiri, hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, dan juga aspek spiritual.

Minimalisme itu menyegarkan
Minimalisme boleh buat kita lebih fokus.

Minimalisme boleh membantu anda mencari kebahagiaan

Minimalisme adalah suatu mindset dan gaya hidup yang boleh membantu anda mencari kebebasan dan menemui kebahagiaan. Bebas dari hutang, dari perasaan untuk memenuhi jangkaan (expectation) orang sekeliling, bebas dari perkara yang membuang masa, bebas dari terperangkap dalam perkara-perkara yang mendatangkan stress, bebas dari penyakit gaya hidup. Bila dah bebas dari benda-benda tu semua, bukan ke kita akan rasa lebih bahagia?

kebebasan dengan minimalisme
Minimalisme boleh beri kebebasan dari pelbagai sudut.

Seorang yang mempunyai mindset minimalis akan mencari kebahagiaan dengan menjalani kehipuan dengan penuh kesedaran dan makna. Kesedaran bahawa kebahagiaan tidak boleh dicapai menerusi pengumpulan harta benda. Kesedaran bahawa kita sebenarnya tidak perlukan barang yang banyak untuk hidup bahagia. Seorang minimalis sedar tentang pemilikan setiap barangnya, yang mana setiap satu barang-barang yang dimilkinya itu memberi nilai dan makna yang tersendiri.

Categories
lessons from abroad minimalisme

Hari Ahad yang tenang

Bila aku first sampai ke Jerman, aku rasa pelik sangat dengan satu budaya mereka.

Budaya hari Ahad yang tenang.

Apa tu?

Kedai tutup hari Ahad

Pada hari Ahad setiap minggu, semua kedai dan servis tutup (kecuali kedai makan). Tak boleh beli groceries, potong rambut, tukar tayar, pergi IKEA, window shopping, jumpa doktor, pergi pejabat pos.

Pada hari Ahad, kau tak boleh buat bising di kawasan perumahan. Tak boleh mesin rumput, drill lubang kat dinding, vacuum lantai. Masa first year aku duduk dekat dengan hospital universiti. Selepas beberapa minggu tinggal kat sana, baru aku perasan yang hari Ahad bunyi ambulan pun takde. Jalan besar depan hospital tu senyap sunyi. Pelik juga memang takde emergency hari Ahad.

Pada hari Ahad, kau tak boleh buat laundry! What??!! FYI, di Jerman jarang rumah student ada mesin basuh sendiri. Kebiasaannya student tinggal di rumah-rumah apartment di Jerman. Dan di rumah-rumah sebegitu, terdapat mesin-mesin basuh coin-operated yang dikongsi penghuni rumah tersebut yang terletak di basement. Jadi, kau tak boleh guna mesin basuh tu hari Ahad sebab hari Ahad adalah hari senyap dan peraturan ini biasanya masuk kontrak rumah sewa.

Tetibe tengak masak hari Ahad garam habis? Terpaksala tunggu kedai bukak esok, tahan aje la sikit rasa tawar tu. Bagi yang perempuan bila kau tetibe datang bulan dan takde pad pada hari Ahad, terpaksala kau call member kau dan mintak sikit sementara tunggu kedai bukak balik hari Isnin. Kau bosan and rasa nak window shopping dekat mall hari Ahad? Lupakan aje hasrat tu, kedai semua tutup.

Habis semua benda kena buat hari weekdays atau Sabtu?

Yes. Ja. Ya.

hutan jerman
Hari Ahad hari riadah.

Sebab hari Ahad di sana adalah hari untuk berehat bersama keluarga, beriadah, menenangkan fikiran sebelum memulakan minggu baru keesokan harinya. Ramai yang membawa anak-anak keluar naik basikal, pergi picnic, pergi hiking. Kalau yang takde anak, bawa anjing jalan-jalan. Atau tak kurang juga ramai yang ke gym atau kolam renang. Gaya hidup sihat. Pergi church? Menurut pemerhatian aku, ramai orang Jerman yang aku kenal personally, mereka tak pergi church pun hari Ahad.

Dalam setahun, hanya ada beberapa hari aje di mana kedai buka hari Ahad. Hari isitimewa ini dinamakan Verkaufoffener Sonntagyang boleh diterjemahkan sebagai Sunday Shopping or Hari Ahad Berbelanja. Haaa, special gila hari Ahad yang ini.

Masa baru-baru duduk sana aku pernah terfikir kenapa la ada budaya yang menyusahkan ni. Kan leceh nak buat semua benda hari Sabtu: time tu la nak terkejar buat laundry, pergi beli groceries semua.

‘Quality time’ tanpa (window) shopping

Tapi bila dah duduk agak lama di Jerman, baru aku sedar yang hari Ahad senyap adalah satu budaya yang ada kebaikannya. Dapat quality time bersama keluarga. Kalau tak beriadah sekali pun, duduk rumah boleh main dengan anak2, baca buku, tengok movie, makan-makan (restoran buka pada hari Ahad di sana).

Definisi quality time di Malaysia mungkin bawa keluarga jalan-jalan dan makan-makan di shopping mall. Tapi bila fikir balik, betul ke quality?

  • Berapa lama masa kau spend dalam traffic jam nak ke shopping mall?
  • Berapa lama pusing-pusing parking lot cari parking?
  • Berapa lama masa kau spend tunggu tempat duduk di restoran/food court pada hujung minggu?
  • Berapa lama pulak kau spend masa beratur kat kaunter nak bayar hasil belian/beli makanan/tiket parking tadi?

Memang banyak masa dihabiskan untuk buat perkara dalam soalan kat atas ni kan?

Bila aku dah terbiasa dengan kehidupan hari-Ahad-senyap di Jerman, aku terbawa-bawa budaya tu ke Malaysia. Aku akan seboleh-bolehnya buat semua grocery shopping, mass cooking dan laundry aku hari Sabtu, dan aku untuk jadikan hari Ahad hari rehat-rehat, recharge dan rewind bersama keluarga untuk minggu depan. Sebenarnya dalam pada rehat-rehat tu, aku banyak kene reflect and get ready. Reflecting on what I did last week and what I can do better in the coming week. Get ready pula selalunya untuk lecture minggu depan.

Hari Ahad yang tenang ni membuatkan aku lebih menghargai silence. Aku perlukan ketengan sebentar untuk reset otak menghadapi minggu seterusnya. Aku tak suka hari Ahad aku dikacau. Jadi itu adalah quality time pada aku.

So, apa pendapat korang tentang konsep Ahad yang tenang ni?

Categories
minimalisme

Jual barang preloved online — platform pilihan anda?

Salah satu cara untuk achieve minimalism adalah untuk mengurangkan barang-barang di rumah. Jual barang preloved ala garage sale. Tapi nak buat garage sale kena kumpul banyak barang dulu, buang masa kalau jual sikit-sikit. Tak ada masa nak tunggu seharian untuk buyer datang. Zaman sekarang, semua dihujung jari aje. Klik sana, klik sini, barang dah teriklan. Jadi apa platform jualan yang pilihan ada?

Instagram, Facebook, Carousell, Mudah.my?

Jual barang terpakai ala garage sale secara online lagi senang
Jual barang terpakai ala garage sale secara online lagi senang

Platform yang streamlined

Secara peribadi, saya lebih suka guna Carousell. Tak perlu save number telefon, tak perlu add contact details pada whatsapp yang akan menyemak address book handphone anda. Simplify your life. Snap and sell. Tangkap gambar, upload dan letak description. Boleh scroll category. Boleh track conversation, boleh leave feedback kepada penjual/pembeli. Boleh mark item as ‘SOLD’. Sangat streamlined, kemas dan teratur.

Memudahkan komunikasi jualbeli

Tak perlu lagi nak tanya seller ‘Salam sis, masih available lagi tak item ni?’. Seller pun pening buyer refer item yang mana satu, buyer terpaksa  hantar lagi screenshot item dari IG , akhirnya buat semak galeri whatsapp handphone kedua-dua seller and buyer. At the end of the day, terpaksa kau clearkan folder Whatsapp images tu. Kenapa nak tambah sampah digital lagi? Simplify your life, people!

Check out my Carousell profile now, barang preloved murah-murah meriah aje.

Sell anything on Carousell
Sell anything on Carousell