Apa itu minimalisme?

Minimalisme, pada asasnya adalah hidup hanya dengan benda, barang, dan perkara yang paling kita hargai dan membuang segala benda, dan perkara lain yang berlebihan, yang mengganggu kita dari mencapai kebahagiaan dan kebebasan.

Ini bererti bahawa hidup dengan penuh kesedaran (intentional living) dan makna (mindful living). Kesedaran bahawa barang-barang tak akan membawa kebahagiaan sebenar pada diri kita.

Minimalisme adalah kebebasan dari nafsu untuk memiliki barang.

Di zaman serba moden ini, kita macam dah diprogramkan untuk fikir yang kalau nak hidup senang dan bahagia, kita kena duduk rumah besar yang diisi dengan segala macam harta benda. Kalau nak orang hormat kita, kena pakai dan guna barang branded. Kalau nak rasa happy, kena pergi shopping, retail therapy. Kita percaya bahawa kebahagiaan boleh dibeli dengan wang ringgit.

Memiliki harta benda tak salah, cuma dalam konteks masyarakat sekarang, pemilikan harta benda lazimnya dijadikan sebagai kayu pengukur kebahagiaan dan kejayaan. Bila dah jadi macam tu, maka masyarakat pun berlumba-lumba nak kumpul harta, kumpul barang. Dari kecil sampailah tua. Akhirnya, hidup disemakkan dengan barang-barang yang memenuhi tempat, mengambil masa, dan mengambil tenaga kita.

Minimalisme adalah ketenangan
Minimalisme boleh membuka ruang, membuka minda.

Jadi, minimimalisme sebenarnya adalah satu mindset yang boleh membebaskan kita dari dibelenggu kepercayaan ini. Minimalisme boleh membebaskan kita dari jerat budaya konsumerisme, dari nafsu untuk memiliki dan mengumpul barang, nafsu ketagih membeli, nafsu sentiasa rasa tak cukup, nafsu iri hati dengan orang lain yang lebih “berada” dari kita.

Minimalism adalah cara hidup yang membantu kita fokus hanya kepada benda atau perkara yang benar-benar ada nilai dalam hidup kita. Dengan cara membuang benda atau perkara yang menyemakkan hidup kita, kita boleh memfokuskan kepada perkara-perkara yang lebih penting dalam kehidupan; seperti kesihatan, perkembangan kendiri, hubungan kekeluargaan dan kemasyarakatan, dan juga aspek spiritual.

Minimalisme itu menyegarkan
Minimalisme boleh buat kita lebih fokus.

Minimalisme boleh membantu anda mencari kebahagiaan

Minimalisme adalah suatu mindset dan gaya hidup yang boleh membantu anda mencari kebebasan dan menemui kebahagiaan. Bebas dari hutang, dari perasaan untuk memenuhi jangkaan (expectation) orang sekeliling, bebas dari perkara yang membuang masa, bebas dari terperangkap dalam perkara-perkara yang mendatangkan stress, bebas dari penyakit gaya hidup. Bila dah bebas dari benda-benda tu semua, bukan ke kita akan rasa lebih bahagia?

kebebasan dengan minimalisme
Minimalisme boleh beri kebebasan dari pelbagai sudut.

Seorang yang mempunyai mindset minimalis akan mencari kebahagiaan dengan menjalani kehipuan dengan penuh kesedaran dan makna. Kesedaran bahawa kebahagiaan tidak boleh dicapai menerusi pengumpulan harta benda. Kesedaran bahawa kita sebenarnya tidak perlukan barang yang banyak untuk hidup bahagia. Seorang minimalis sedar tentang pemilikan setiap barangnya, yang mana setiap satu barang-barang yang dimilkinya itu memberi nilai dan makna yang tersendiri.

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *