Kenapa pakai baju sama setiap hari adalah lebih efisien

Antara tips hidup minimalis yang dikongsikan oleh Fumio Sasaki, seorang minimalis tegar dalam bukunya Goodbye, Things, adalah:

Carilah pakaian seragam unik anda sendiri.

-Fumio Sasaki

Kenapa nak pakai ‘pakaian seragam’ atau baju yang sama setiap hari? Tak bosan ke? Sebenarnya pakai pakaian yang sama setiap hari membantu kita menjadi lebih efisien dalam kehidupan seharian. Saya tak maksudkan pakai baju yang sama berulang kali tanpa dibasuh, janganlah jadi pengotor pula. Saya maksudkan baju sama adalah pakaian seperti pakaian seragam.

Bayangkan senario ini pada suatu pagi, hari kerja. Lepas mandi, kita duduk depan almari, bersedia nak pakai baju. Berapa lama kita buang masa depan almari untuk pilih baju kerja? Pilih seluar yang nak dipadankan dengan baju tadi? Bagi yang perempuan, pilih pula accessories atau tudung lagi? Bila dah dekat pintu nak keluar, kita kena pilih kasut pula. Berapa banyak keputusan yang otak kita terpaksa buat dalam setiap kategori tu?

Banyak pilihan, kurang keefisienan?
Semakin kurang pakaian, semakin cepat masa bersiap

Kalau dalam satu kategori tu kita tak terlalu banyak pilihan, kan lebih cepat kita buat keputusan? Lebih efisien penggunaan masa dan tenaga kita.

Orang hebat dan pakaian seragam.

Cuba perhatikan gaya orang-orang hebat ni, pemimpin dan public figure kita. Biasanya mereka akan ada satu gaya unik dan tersendiri, yakni signature look la. Gaya unik ni biasanya ada elemen keseragaman dan kesamaan. Contohnya Tun Dr. Mahathir yang kebanyakan masanya memakai baju berkolar nehru ataupun bush jacket. Gaya ini adalah sangat sinonim dengan beliau. Nampak simple, tapi sangat praktikal. Tak perlu nak fikir tali leher apa yang nak dipadankan dengan kemeja, kemeja apa yang nak dipadankan dengan seluar ni, seluar tu.

seragam Tun Mahathir.
Pakaian seragam Tun Mahathir: Baju kolar nehru dan bush jacket, biasanya berwarna kelabu.

Tan Sri Zeti Akhtar Aziz pula, sentiasa dengan baju kurung biru dan rantai mutiara putihnya. Saya dah lama perasan, dan saya sering terfikir juga berapa pasang baju kurung biru beliau ada sebenarnya. Apa-apapun, yang pasti, bila bersiap pagi-pagi dah tak perlu pening kepala nak memilih baju apa nak pakai hari ini.

baju kurung tan sri zeti
Tan Sri Zeti Akhtar Aziz sering mengenakan baju kurung biru dan rantai mutiara.

Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail mempunyai pakaian seragamnya yang tersendiri juga. Beliau selalu memakai baju kurung atau kebarung berona pastel, dipadankan dengan tudung bawal polos berona pastel juga. Dari dulu sampai sekarang. Beliau tak perlu jadi nak try setiap tudung gaya baru, fabrik baru yang keluar di pasaran.

 

tudung paster wan azizah
Datuk Seri Wan Azizah sering memakai tudung bawal warna pastel

Bukan sahaja public figure Malaysia, malah orang terkemuka antarabangsa juga memilih pakaian yang sama untuk dijadikan “seragam” unik diri sendiri. Mark Zuckerberg dan mendiang Steve Jobs, technopreneur berjaya cuma memakai jenis baju yang sama setiap hari dan mereka dikatakan sangat efisien. Kalau dalam contoh Mark Zuckerberg tadi, dalam kategori pakaian, beliau selalu pakai baju jenis hoodie hitam, t-shirt kelabu serta jeans biru. Steve Jobs pula sentiasa dengan baju turtleneck hitam dan jeans biru. Hampir setiap hari mereka memakai jenis baju yang sama sebegitu.

Kenapa jenis baju sama setiap hari? Mereka tak mahu buang masa buat pilihan untuk perkara-perkara kecil dalam urusan seharian, seperti baju apa nak pakai hari ni. Mereka lebih gemar menggunakan masa dan tenaga untuk membuat keputusan-keputusan yang lebih penting. Kan lebih efisien macam tu?

 

Zuckerberg & Jobs simple fashion
Uniform orang efisien | Mark Zuckerberg: hoodie dan t-shirt kelabu; Mendiang Steve Jobs: turtleneck hitam dan jeans biru.

Keluarga baju sama yang efisien

Setelah berkahwin, saya baru tahu suami saya hanya ada beberapa kemeja kerja yang diulang pakai setiap minggu. Kemeja tu hampir semuanya warna biru (bukan uniform macam polis atau TUDM tu). Jadi saya memang akan iron baju kemeja yang sama setiap hujung minggu. Bila tanya kenapa sikit aje baju kerjanya, suami cakap “I don’t need to complicate my morning routine and I don’t need to impress anyone with what I wear“. Bapa mertua saya pula selalu pakai baju kemeja putih dan seluar hitam setiap hari; dan ibu mertua pula kebanyakan baju dan tudungnya berwarna merah dan hitam. Mungkin jenis pakaian mereka ada variasi tetapi masih dalam tema warna yang sama. Mereka adalah orang-orang yang paling efisien yang saya kenal; sangat cekap dan menepati masa. Saya banyak belajar dari mereka.

Minimalist wardrobe
Hadkan warna dalam almari anda

Majikan baju sama yang efisien

Boss-boss saya di universiti di Malaysia juga sama. Saya pernah ada boss lelaki yang pakai baju putih setiap hari walaupun jawatan beliau tidak memerlukan pemakaian uniform. Beliau adalah seorang yang sangat efisien dan cekap. Boss perempuan pula setiap hari pakai baju kurung batik crepe dipadankan dengan fesyen/jenama tudung yang sama. Supervisor saya di Jerman dulu sering mengenakan seluar tweed berwarna coklat dan baju kemeja coklat atau hijau atau warna gelap. Jarang nampak beliau pakai baju atau seluar warna lain. Beliau sangat produktif dalam bidangnya dan pemikirannya sangat tajam.

Mungkin bila menyandang jawatan yang semakin tinggi, yang mana kena buat keputusan-keputusan besar dan penting setiap hari, tiada masa nak fikir isu remeh seperti hari ni nak pakai baju apa? Yang penting, cukup sekadar kemas dan nampak professional.

Usaha saya nak jadi lebih efisien?

Well, saya baru berjinak dengan idea minimalisme yang salah satunya adalah pakai-baju-sama ni sebab saya rasa memang ada benarnya. Hidup kurang pilihan, hidup lebih aman. Jadi saya tak beli atau pakai tudung bercorak, dan saya hanya pakai satu jenis sahaja. Semua tudung yang saya pakai adalah instant shawl polos. Hehe, boleh tak macam tu? Saya tak perlu fikir tentang corak ni padan dengan baju ni aje, corak tu dengan baju tu aje. Kasut pula saya pakai 3 warna aje: hitam, merah dan coklat. Boleh dipadankan dengan dengan kebanyakan baju saya. Ok lah tu kot usaha saya untuk permulaan ke arah hidup minimalis?

Boleh ke anda pakai jenis baju sama setiap hari? Rasanya lebih efisien tak kalau macam tu?

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 thoughts on “Kenapa pakai baju sama setiap hari adalah lebih efisien”